Thursday 13 June 2013

SLE dan Kehamilan




.
Apakah SLE?
Systemic Lupus Erythematosus (SLE) adalah penyakit kronik auto-imun di mana badan pesakit menghasilkan protein darah dengan banyaknya. Protin darah yang dipanggil antibodi ini dengan sendirinya memberi tindak balas terhadap tisu seseorang. Punca penyakit SLE tidak diketahui.

Sejarah
Lupus ialah perkataan Latin bagi serigala. Erythematosus bererti ruam merah. Pada tahun 1851,
Dr. Cazenave telah menjumpai ruam merah di muka seorang pesakit yang kelihatan seperti gigitan serigala. Beliau telah menamakan ruam berkenaan Discord Lupus Erythematosus (DLE).
Pada tahun 1885, Sir William Osler telah mengenalpasti bahawa ramai orang yang mengidap lupus mempunyai penyakit yang bukan sahaja melibatkan kulit tetapi turut melibatkan organ dan sistem lain. Beliau telah menamakan penyakit tersebut Systemic Lupus Erythematosus (SLE).

Jenis-jenis Lupus
Discoid Lupus Erythematous (DLE)
·         Hanya melibatkan kulit
·         Jarang merebak ke organ lain
Systemic Lupus Erythematosus (SLE)
·         Boleh merebak ke organ lain
·         Boleh mengakibatkan kematian

Statistik
Lebih kurang 90% pengidap SLE adalah wanita sementara 10% adalah lelaki dan kanak-kanak.
Lebih kurang 90% wanita yang mengidap SLE berada di dalam lingkungan umur boleh hamil iaitu di antara 15 hingga 50 tahun.
Ratio pengidap SLE:
Di Barat, di kalangan Afro-Caribbeans – 1 dalam 250 –500 orang
Di Amerika Syarikat – 1 dalam 2,000 orang
Di negara China – 1 dalam 1,000 orang

Di Malaysia dianggarkan lebih daripada 10,000 orang telah disahkan mengidap SLE dalam jangka masa 30 tahun kebelakangan ini. Namun demikian, PSLEM percaya ada ramai lagi mereka yang mengidap SLE yang belum disahkan.
Kehamilan & SLE

Fakta Ringkas
·        Bagi pesakit SLE, kesuburan lazimnya tidak terganggu, walaupun aktiviti penyakit dan sesetengah ubat boleh menjejaskan kitaran haid
·        Merancang kehamilan adalah penting
·        Pesakit itu mestilah tidak mempunyai apa-apa gejala SLE dan penyakit tidak aktif sekurang-kurangnya enam bulan sebelum hamil
·        Oleh kerana SLE boleh menjadi lebih aktif semasa kehamilan, maka amatlah penting bagi pesakit berada di bawah jagaan doktor semasa hamil

Walaupun kehamilan bagi seseorang yang mengidap Sistemik Lupus Erithematosus (SLE) dianggap satu risiko tinggi, kebanyakan wanita dapat mengekalkan kehamilan mereka hingga ke peringkat akhir. Namun demikian, harus ditekankan bahawa merancang kehamilan adalah penting. Sebaik-baiknya, seseorang wanita tidak mempunyai apa-apa gejala SLE dan penyakit tidak aktif sekurang-kurangnya enam bulan sebelum kehamilan.

Masalah sewaktu Kehamilan
Amat mustahak bagi seseorang pesakit SLE yang hamil berada di bawah jagaan doktor semasa kehamilannya. Ini adalah kerana lebih tinggi kemungkinan penyakit menjadi aktif bagi pesakit SLE yang hamil berbanding yang tidak hamil. Keadaan ini berlaku terutamanya semasa trimester kedua dan ketiga dan yang paling kerap, selepas kelahiran bayi. Ini berlaku disebabkan oleh perubahan pada tahap hormon semasa kehamilan, iaitu pertambahan pada tahap estrogen. Oleh sebab itu, rawatan segera adalah penting untuk menjaga kesihatan si ibu. Biasanya, keradangan buah pinggang lebih kerap berlaku sementara sakit sendi berkurangan.

Fakta-fakta yang harus diambil kira:

·      Wanita yang mengidap SLE mempunyai kadar keguguran serta kelahiran tidak cukup bulan yang lebih tinggi berbanding dengan orang ramai
· Wanita yang mempunyai antibodi antifosfolipid (Antiphospholipid syndrome) mempunyai risiko keguguran yang lebih semasa trimester kedua disebabkan pembekuan darah yang lebih tinggi di dalam uri
·  Pesakit SLE yang mempunyai sejarah penyakit buah pinggang mempunyai risiko yang lebih tinggi mengalami pra-eklampsia (tekanan darah tinggi akibat pertambahan cecair berlebihan dalam sel-sel tisu dalam badan)
·     Wanita hamil yang mengidap SLE, terutamanya mereka yang mengambil kortikosteroid, juga bekemungkinan mendapat tekanan darah tinggi, kencing manis, serta komplikasi buah pinggang. Oleh yang demikian, rawatan susulan dan pemakanan yang baik semasa kehamilan amat perlu
·  Adalah dinasihatkan untuk melahirkan bayi di institusi kesihatan yang mempunyai kelengkapan rawatan rapi bagi bayi (sekiranya bayi mengalami apa-apa masalah)

Autoimmune Disease - SLE

Pengawasan sewaktu Kehamilan
Bagi wanita yang mengalami penyakit buah pinggang yang stabil sebelum hamil, kehamilannya tidak akan membahayakan fungsi buah pinggang dalam masa jangka panjang. Namun demikian, gangguan buah pinggang mungkin berlaku buat pertama kalinya semasa kehamilan. Para doktor juga harus berhati-hati kerana SLE yang aktif agak susah untuk didiagnosa semasa kehamilan kerana ciri-cirinya hampir sama dengan ciri-ciri kehamilan biasa.

Adalah lebih baik bagi pesakit yang hamil melakukan pemeriksaan di klinik-klinik gabungan (obstetrik dan perubatan). Riwayat pesakit dan pemeriksaan fizikal merupakan perkara penting dalam pengawasan aktiviti penyakit semasa kehamilan. Kawalan awal terhadap aktiviti penyakit amat perlu. Penilaian awal termasuklah:

·       Ujian untuk antibodi anti-Ro dan anti-La
·       Ujian bagi antibodi antifosfolipid bagi mereka yang pernah mengalami keguguran

Perawatan Pesakit SLE yang Hamil
Ubat-ubatan yang boleh digunakan semasa kehamilan adalah:

·        Aspirin atau ubat anti-radang yang tidak mengandungi steroid (NSAIDs), yang digunakan untuk melegakan sakit sendi atau otot. NSAIDs selain daripada aspirin harus dielakkan semasa trimester ketiga.
·        Ubat anti-malaria seperti Plaquenil adalah berguna untuk mereka yang mengalami penyakit kulit dan sendi.
·        Prednisolone pada dos yang rendah. Oleh kerana kehamilan hanya dirancang semasa penyakit terkawal, kebanyakan pesakit telah pun mengambil prednisolone pada dos yang rendah apabila mereka hamil. Oleh kerana terdapat risiko seperti kencing manis dan darah tinggi, para doktor mesti cuba memastikan pesakit mengambil prednisolone tidak lebih daripada 10mg sehari.

Jika penyakit SLE menjadi aktif, methylprednisolone boleh digunakan secara intravena (drip). Cyclophosphamide harus dielakkan kerana kaitannya dengan kecacatan kelahiran.

Keputusan Menghentikan Kehamilan
Untuk keputusan menghentikan kehamilan, para doktor akan mengambilkira faktor-faktor berikut:

·        Adakah kesihatan ibu berkemungkinan menjadi bertambah buruk jika kehamilan diteruskan?
·         Adakah bayi berkemungkinan membesar dengan lebih baik jika dilahirkan berbanding berada di dalam kandungan?
Komplikasi ibu biasanya lebih berkaitan dengan kehamilan dan bukannya penyakit SLE. Samada melahirkan bayi atau menjalani pembedahan adalah satu keputusan obstetrik. Isu-isu yang khusus kepada SLE jarang menentukan cara bayi dilahirkan, walaupun ianya boleh meningkatkan kesegeraan untuk pembedahan.

Waktu Dalam Pantang
Pesakit dinasihatkan mengambil ubat steroid dua atau tiga bulan selepas bersalin jika penyakit SLEnya aktif sepanjang kehamilan. Pesakit harus berjaga-jaga kerana penyakit SLE kerap menjadi aktif sewaktu trimester kedua dan ketiga serta waktu selepas bersalin. Kakitangan neonatal juga perlu diberitahu mengenai status anti-Ro dan anti-La pesakit.

Penyusuan Bayi
Pesakit SLE boleh menyusukan bayi mereka. Pada umumnya, hanya sedikit sahaja steroid yang mengalir ke dalam susu ibu, terutama sekali apabila pesakit mengambilprednisolone pada dos yang rendah. Kesan agak kecil jika ibu mengambil 20mg prednisolone atau kurang setiap hari. Pendedahan bayi kepada steroid boleh diminimakan lagi dengan menyusukan bayi sebelum mengambil ubat prednisolone. Anti-koagulan seperti heparin juga selamat, sementara cyclophosphamide tidak selamat.

Lupus Neonatal
Lupus neonatal adalah gangguan yang berlaku pada bayi yang baru lahir di mana auto-antibodi di dalam darah ibu (yang dipanggil anti-Ro dan anti-La) berkemungkinan menyebabkan ruam kulit dan merosakkan tisu konduksi jantung janin. Biasanya terdapat ruam kulit di antara bulan pertama hingga ketiga selepas kelahiran. Namun demikian, ruam-ruam ini akan hilang selepas lebih kurang enam bulan tanpa rawatan. Walaubagaimanapun kes-kes ini jarang berlaku (kurang daripada 2%), jika terdapat sekatan jantung pada bayi, keadaannya tidak boleh pulih dan bayi memerlukan “pacemaker”.

Simptom dikenali sebagai Butterfly Rash
Sindrom Antifosfolipid
Pada tahun 1983, Dr. Graham Hughes telah memperkenalkan satu sindrom yang digelar “darah melekit”. Sindrom ini dikaitkan dengan kehadiran antibodi kepada fosfolipid. Biasanya dua ujian diperlukan – antibodi kardiolipin dan lupus anti-koagulan. Ciri-ciri utama sindrom antifosfolipid adalah:
·         Berlaku darah beku
·         Keguguran kandungan yang berulang
Ciri-ciri lain termasuklah kiraan platelet yang rendah, ruam kulit yang bertompok, migrain, dan ujian darah antibodi antifosfolipid yang positif.
Bagi mereka yang mengalami Sindrom Antifosfofolipid, keguguran kandungan biasanya berlaku pada timester kedua. Rawatannya ialah dengan mengambil aspirin dan heparin. Pengambilan heparin akan diberhentikan sebaik proses bersalin bermula dan disambung kembali selepas bayi dilahirkan. Risiko darah beku yang paling utama kepada ibu ialah waktu selepas bersalin.

Pengidap SLE dikalangan kanak-kanak
Walaupun tidak banyak terdapat kajian susulan mengenai anak-anak yang dilahirkan oleh ibu yang mengidap SLE, risiko kanak-kanak berkenaan mendapat SLE adalah sangat rendah. Didapati juga bahawa kanak-kanak lelaki mempunyai ketidakupayaan pelajaran yang lebih berbanding kanak-kanak perempuan.

Penutup
Pada masa sekarang, wanita yang menghidap SLE boleh hamil dan melahirkan anak dengan selamat. Anda tidak seharusnya melepaskan peluang untuk menjadi seorang ibu. Yang pentingnya ialah anda harus berwaspada dan menjaga diri anda dengan baik sewaktu dan selepas kehamilan anda. Bertindaklah dengan bijak dan ikut nasihat doktor mengenai waktu yang selamat untuk hamil.



No comments:

Post a Comment